Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan
Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam".
(Sahih Muslim)
Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.;
"Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) adalah seperti
berpuasa setahun dan siapa yangg bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku
bersedekah setahun." Riwayat Albazzar. Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya
orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang
lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari
asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun
yang lalu". (Sahih Muslim)
Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa
jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda
tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain
berpuasa juga". (Sahih Muslim)
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah,
Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya,
"Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik.
Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi
Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu
dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada
hari asyura. (Sahih Bukhari)
Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru
cara orang-orang Yahudi." - Riwayat Al Baihaqi
Puasa hari ‘Asyura’, Tasu‘a’ dan kesebelas Muharram Puasa hari
‘Asyura’ ialah puasa sunat pada hari kesepuluh bulan Muharram. Diriwayatkan
daripada Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhuma berkata, aku mendengar
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Maksudnya : “Ini adalah hari
‘Ayura’ dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka
barangsiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dia dan barangsiapa mahu
(tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).” (Hadits riwayat
Bukhari) Hikmat berpuasa pada hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan
daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata : Maksudnya: “(Tatkala) Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam sampai di Madinah, baginda melihat orang-orang
Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka
menjawab : “Hari yang baik, ini adalah hari yang mana Allah menyelamatkan Bani
Israil daripada musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu” Nabi bersabda :
“Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu” Lalu Baginda berpuasa dan
memerintahkan berpuasa (pada hari itu.)” (Hadits riwayat Bukhari) Kelebihan
berpuasa di hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah
Al-Anshari berkata :
Maksudnya: “Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam)
tentang berpuasa pada hari ‘Asyura’? Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa
setahun yang telah lalu.” (Hadits riwayat Muslim) Adalah disunatkan juga di
samping berpuasa pada hari ‘Asyura’, berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu hari yang
kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas
Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: “Dahulu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk
melakukan puasa itu, mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya
hari ‘Asyura‘ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Apabila pada tahun
yang akan datang, Insya Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan”
Berkata Abdullah bin Abbas: “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun wafat.” (Hadits riwayat Muslim) Para
ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu‘a’ (sembilan
Muharram) itu dari berbagai-bagai aspek: 1. Bagi menyalahi atau membezakan
amalam orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ (Sepuluh
Muharram) sahaja. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya : “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah
perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau
sehari selepasnya.” (Hadits riwayat Ahmad) 2. Bagi maksud berhati-hati berpuasa
pada hari ‘Asyura’ kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam
pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam
pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya. 3. Bagi maksud
menyambung puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja
seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa
jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Asyura’. (lihat I‘anah
Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari
‘Asyura’ tanpa berpuasa pada hari Tasu‘a’, supaya berpuasa pada hari kesebelas
Muharram. Bahkan Imam Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala menyebutkan di dalam Kitab
Al-Umm dan Al-Imla’ disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari
kesembilan (Tasu‘a’), kesepuluh (‘Asyura’) dan kesebelas bulan Muharram.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar